15 February 2010

"doakan saja aku murah rejeki" kata Apai


Selesai solat Isyak, Cikgu Rahman ajak aku `mengeteh` di kedai mamak Asrinah, Kota Kinabatangan. Aku setuju, lantas segera memecut kelisa bini aku ke tempat yang dijanjikan. Memandangkan kedai mamak Asrinah penuh terpaksa tukar `port`, lalu beralih ke Kedai Mamak Nafilah.

Kedai Mamak Nafilah tidak kurang hebatnya. Ramai jugak pengunjungnya. 24 jam juga dibuka untuk pelanggan setia. Menjadi satu trend masa kini, kedai-kedai mamak di Kota Kinabatangan dilengkapi dengan Free WiFi. Satu kemudahan yang amat baik sekali.

Duduk berborak, aku, Cikgu Rahman dan Ustaz Adhli. Aku menikmati secawan teh tarik. Ustaz Adhli pekena Radix O. Manakala Cikgu Rahman minum Spriluna. Begitulah kalau tidak silap ejaannya.

Perbualan rancak. Yang aku minat cerita Ustaz Adhli, dia dah sampai UK. United Kingdom. Bukan senang nak sampai sana kalau tidak kerana menuntut di al-Azhar. Pengalaman pahit manis mengembara ke tempat orang tentu sesuatu yang amat indah dalam hidup.

Teringat pengalaman aku ketika di Mesir. Tak banyak tempat yang aku berjalan. Paling jauh pun suatu tempat di daerah Aswan. Betul kata pepatah, jauh perjalanan luas pengalaman. Datang Sabah pun sudah banyak pengalaman ditimba.

Alhamdulillah, berkat pernah mengajar di Kampung Tundun Bohangin, aku mengenali orang kampung disitu yang tak lokek dan suka menderma. Suka menolong dan sedekah makanaan dan sebagainya.

Tanggal 26hb Febuari 2010 ni aku akan balik ke semenanjung, nak jenguk beliau yang sudah sebulan lebih selamat menjalani pembedahan di IJN, Kuala Lumpur. Sebagai buah tangan untuk saudara mara, aku tempah udang galah dari Apai budak Kg. Tundun Bohangin.

Aku nak beli RM 100. Tapi dia jawab..” indak payah kau susah2 bah, doakan saja aku murah rejeki..” . Terima kasih Apai, aku bagi jugak untuk habuan minyak kau itu bah...